Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Friday, March 27, 2009

Kembara Iman - Fasa 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izinNya maka hari ini para Bakarianz (MakLong,MakTeh,AyahChik,PakSu) telah berjaya melengkapkan perkara-perkara asas untuk urusan permohonan visa umrah. Yang tinggal kini cuma dokumen Abah dan Mi sahaja yang masih menunggu proses suntikan selesai, insyaAllah dijangka akan dibuat pada 8.4.2009. Semoga dipermudahkanNya dan semua urusan menuju Kembara Iman kami akan berjalan lancar.

Suntikan berjaya dibuat pada pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lebih kurang jam 8.00 pagi. Demi mendapatkan suntikan tersebut, MakLong dan MakTeh telah membuat keputusan bermalam di rumah Bandar Baru Sentul (BBS) kerana mengambil kira jarak yang hampir dengan HKL. Kami bertolak dari BBS pada jam 7.10 pagi dan tiba di perkarangan HKL pada jam 7.30 pagi. Alhamdulillah niat kami dipermudahkanNya. Dengan mudah kami mendapat ruang tempat letak kereta dan terus menuju ke Jabatan Pesakit Luar. Mujurlah PakSu telah terlebih dahulu mendapatkan maklumat tentang prosedur mendapatkan suntikan di situ. Malah kunjungan kami ke situ sebenarnya selepas gagal mendapatkan suntikan pada hari Selasa di Klinik Kesihatan Petaling kerana kehabisan stok bekalan ubat.

Kami dikira bernasib baik kerana antara yang paling awal tiba untuk mendapatkan suntikan dan terus menerima layanan baik daripada kakitangan bertugas. Malah tindakan kami bertanya kepada kakitangan bertugas menyebabkan orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan yang sama turut mengerumuni kakitangan tersebut. Lucu pun ada juga rasanya kerana sebelum kami bersuara, semua yang ada di situ hanya mendiamkan diri menunggu disapa/dimaklumkan oleh kakitangan bertugas.

Tidak sampai setengah jam, urusan suntik menyuntik selesai dan kami beredar ke kafeteria HKL untuk bersarapan sebelum bertolak menuju ke tempat kerja masing-masing. InsyaAllah pagi esok, urusan menyerahkan salinan paspot, sijil suntikan dan gambar kepada wakil agensi umrah akan dibuat oleh PakSu dan AyahChik. Manakala pada hari Ahad pula, kelas pengajian umrah akan bermula dan kami bercadang untuk mengikutinya bagi memantapkan pengetahuan sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 3.6.2009 (insyaAllah).

Monday, March 16, 2009

Seketika di KLIA

Bismillahirrahmanirrahim...

12.03.2009: Kami ke KLIA untuk mengucapkan selamat jalan kepada BaMa @ Ayah Long yang akan bertolak ke Libya dengan menaiki penerbangan pada jam 2.30 pagi. Kami sempat menge'pow' BaMa untuk belanja kami makan KFC sebelum bertolak. Jam 12.30 malam, BaMa mendaftar masuk dan proses selesai lebih kurang jam 1.30 pagi. Dengan mata yang mengantuk, kami bersalam-salaman dan meninggalkan KLIA dengan doa semoga perjalanannya dirahmati dan diselamatkanNya jua.






Aksi Adam di KLIA yang meringankan beban tugas makcik-makcik cleaner...

Monday, March 9, 2009

Kembara Ke Bumi Hang Tuah

Bismillahirrahmanirrahim...

Bakarianz Terlibat:
BaAn (Ayah Ngah), Kak Nani (Mak Ngah), BaHa (Ayah De), Kak Syima (Mak De), Kak Imah (Mak Long), Kak Ya (Mak Teh), Aqilah, Afifah, Adam, Adeef

08.03.2009 (Ahad): Kembara kami bermula dari 2 arah yang berlainan. BaAn @ Ayah Ngah dan keluarga bertolak daripada Felda Chini, Pahang manakala BaHa @ Ayah De dan keluarga, Kak Imah @ Mak Long dan Kak Ya @ Mak Teh bertolak daripada Kuala Lumpur. Justeru, ketibaan kami juga pada waktu yang agak berbeza. BaAn dan keluarga tiba lebih awal.

Kunjungan kami ke bumi Melaka @ Hang Tuah pada kali ini agak berbeza. Kami berdepan dengan kesesakan jalan raya yang boleh dianggap cukup mencabar kesabaran para pemandu (BaAn dan BaHa...hehe). Kepanasan di kepala memang tidak tergambar, ditambah pula dengan sikap sesetengah pemandu yang tidak bertimbang rasa meletakkan kenderaan sesuka hati di kiri dan kanan jalan menyebabkan laluan menjadi sempit. Natijahnya, laluan sehala yang memang sudah sedia sempit menjadi semakin tirus dan menimbulkan kesesakan melampau. Kenampakan juga pihak Polis Trafik terpaksa bertegang urat untuk mengatasi kedegilan pemandu meletakkan kenderaan di laluan bergaris kuning. Arghhh! Sungguh tidak menyenangkan.

Selepas bergelut dengan kesesakan selama hampir 2 jam, kami tiba di destinasi pertama, Hotel Mahkota yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Tanpa membuang masa, kami terus mendaftar masuk dan menuju ke apartmen 3 bilik yang telah ditempah oleh Mak Long pada hari Jumaat.

Selesai merehatkan diri dan membersihkan diri, kami bersiap untuk menuju ke destinasi lawatan pertama iaitu Zoo Malam Melaka. Malah BaAn sempat mengunjungi pusat urut yang disediakan di kawasan hotel semasa yang lain bersiap. Dalam perjalanan, kesesakan masih juga terpaksa kami hadapi untuk keluar dari Bandar Melaka menuju ke Ayer Keroh. Walaupun tiba agak lewat sedikit daripada jangkaan, ketibaan kami disambut kakitangan bertugas di situ dengan mesra. Sebenarnya Zoo Melaka merupakan salah satu agensi yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Dengan keluasan 54 ekar dan menempatkan pelbagai jenis dan spesis binatang, Zoo Melaka sememangnya satu destinasi yang mesti dikunjungi apabila berkunjung ke Melaka.

Kanak-kanak sudah tentulah orang yang paling gembira apabila berkunjung ke zoo. Walau bagaimanapun, suasana malam yang pekat menyebabkan binatang-binatang tidak dapat dilihat dengan jelas. Tambahan pula, pengunjung dikehendaki untuk menaiki tram yang disediakan sahaja dan berhenti di satu lokasi sebelum menaiki tram seterusnya. Sempat jugalah kami melihat beberapa jenis haiwan seperti buaya, memerang, harimau dan singa. Tanpa disedari, lebih 1 jam kami berlegar-legar di dalam zoo. Memandangkan perut pun sudah berkeroncong minta diisi, kami terus menuju ke restoran Subaidah yang terletak berhampiran MITC. Hasrat untuk ke Umbai menikmati hidangan makanan laut terpaksa kami tangguhkan berikutan waktu pun sudah agak lewat. Pelbagai juadah dipesan dan semuanya kami belasah hingga licin. Lapar benar semua orang, penat agaknya seharian meredah kesesakan dan kemudian berjalan-jalan di zoo.

Jam 11.15 malam, kami terus meredah malam pulang ke hotel untuk merehatkan diri dan meneruskan aktiviti keesokan harinya.














09.03.2009: Selesai sarapan dan acara mandi-manda, kami check-out dan terus menuju ke tapak Eye on Malaysia. Mujurlah keadaan trafik sudah beransur baik dan perjalanan kami menjadi lancar walaupun kedudukan tapak tersebut agak sukar ditemui.
Dengan bayaran RM10.00 bagi dewasa dan RM4.00 bagi kanak-kanak, kami beratur menunggu giliran untuk menaiki Eye On Malaysia.

















Sebelum bertolak pulang, kami juga sempat menaiki Menara Taming Sari dan mengunjungi Muzium Kapal (apa nama sebenarnya tak ingat). Malah yang paling hebat, kereta BaAn dan BaHa telah disaman oleh petugas MBMB. Tahniah! Kunjungan anda ke Melaka amat dihargai. Hahaha...

p/s: Gambar-gambar lain sebahagiannya masih berada dalam simpanan BaAn. Bila nak bagi ni untuk diupload ke blog?

Wednesday, March 4, 2009

Suzuki SX4

Bismillahirrahmanirrahim...
Akhirnya, pada jam 9.00 malam, 27 Februari 2009, Suzuki SX4 dengan nombor pendaftaran WQS 8897 sah menjadi milik Ayah Chik. Tersenyum lebar Ayah Chik. Tahniah Ayah Chik. Jangan lupa bawa Bakarianz ronda-ronda ya.



Aik Pak Su, posing dengan kereta Ayah Chik nampak...

Friday, February 27, 2009

Ulangtahun Kelahiran Ke-5

Bismillahirrahmanirrahim...




"Selamat hari jadi ke-5 hari ini


Buat Muhammad Haziq Amin bin Mohd Hafiz...


Moga panjang umur murah rezeki


Hidup sentiasa diberkati Ilahi


Meningkat taqwa dan iman dalam hati


Berjaya dalam menempuh hidup ini."