Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, December 20, 2008

Cuti-cuti Malaysia - Kota Kinabalu, Sabah

Bakarianz terlibat:-
To'wan, Mak Long, Mak Teh, Ayah Chik, Pak Su, Haziq, Adam

15 Disember 2008:
To'wan, Mak Teh, Haziq dan Pak Su bergerak daripada Gombak dengan menaiki kereta Baha@Ayah De lebih kurang jam 1.30 pagi. Manakala Mak Long, Ayah Chik dan Adam bertolak dengan menaiki KLIA Transit daripada stesen Bandar Tasik Selatan. Kami terpaksa berpecah kerana kenderaan Baha tidak mencukupi untuk membawa kami semua ke KLIA.

Mak Long, Ayah Chik dan Adam menaiki tren jam 10.40 malam menuju ke KLIA. Adam pun turut sama berjalan kaki bersama Mak Long dan Ayah Chik menuju stesen tren. Bersemangat betul Adam nak menaiki kapal terbang.

Memandangkan penerbangan kami dijadualkan pada jam 4.00 pagi, kami bertiga terpaksa berkampung buat sementara di KLIA sementara menunggu waktu penerbangan. Macam pelarian pun ada juga rasanya. Adam pun sempat tidur sebentar sebelum yang lain-lain tiba di KLIA.


Penerbangan yang dijadualkan pada jam 4.00 pagi akhirnya telah ditunda ke jam 5.00 pagi atas kerosakan yang timbul di saat-saat akhir.

Kami tiba di Kota Kinabalu International Airport (KKIA) pada jam 08.30 pagi. Mujurlah urusan kereta sewa telah diuruskan oleh salah seorang kenalan Mak Long di KK. Alhamdulillah kami dapat sebuah Proton Saga BLM baru dengan kadar sewa RM120 sehari. Kira murah lah kalau nak dibandingkan dengan harga sewa yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat lain di KKIA.

Kami terus menuju ke Promenade Hotel Apartments yang terletak kira-kira 20 minit daripada KKIA. Hotel tersebut telah ditempah lebih awal dengan kadar RM161/malam. Walaupun kami sampai awal, kami hanya dibenarkan untuk daftar masuk pada jam 12.00 t/hari. Semua dah penat sebab kurang tidur. Kami ambil keputusan untuk berehat dan tidur terlebih dahulu sebelum memulakan pengembaraan kami di KK.

Selesai membersihkan diri dan merehatkan diri seketika, tanpa melengahkan masa, kami memulakan pengembaraan lebih kurang jam 04.00 petang menuju ke Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tujuan kami sebenarnya adalah untuk meninjau Akuarium yang terletak dalam universiti tersebut. Kami bercadang untuk mengunjungi tempat tersebut pada esok hari memandangkan tempat tersebut ditutup pada hari Rabu.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah untuk makan malam di Anjung Selera yang terletak berhampiran Lebuh Raya Likas. Makanannya boleh tahan juga walaupun tidaklah sedap sangat...

Kami juga sempat singgah di Masjid Jamek KK sebentar untuk berposing...


16 Disember 2008:

Kami bangun seawal jam 6.00 pagi memandangkan waktu Subuh lebih awal 1 jam berbanding di Semenanjung. Kesian pula bila terpaksa mengejutkan Haziq dan Adam untuk bangun awal. Mujurlah kedua-duanya masih di bawah kawalan. Paling kelakar Adam, dah siap mandi tapi tertidur semula sementara menunggu yang lain-lain bersiap.

Seperti dirancang, pada hari ini kami bercadang untuk mengunjungi Akuarium di UMS dan meneruskan perjalanan ke Tamparuli, Kundasang, Ranau.


Pintu masuk Akuarium UMS. Kami merupakan pengunjung pertama yang tiba...


Di Tamparuli...sempat menaiki Jambatan Tamparuli dan mengunjungi Tamu berdekatan...

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Sabah Tea Garden. Perjalanan daripada Tamparuli ke Sabah Tea Garden mengambil masa lebih kurang 2 jam.


Poring Hot Springs...

Pekan Kundasang...sejuk tempat tu, macam Cameron Highlands...Dalam perjalanan balik kami singgah untuk tidak melepaskan peluang melihat bunga yang terbesar di dunia iaitu bunga Rafflesia. Walaupun kami terpaksa mendaki untuk melihat bunga tersebut dan sedikit bayaran dikenakan, kami nekad untuk melihat juga bunga tersebut. Bimbang juga peluang lain tak muncul...tapi To'wan tidak turut serta kerana perlu mendaki bukit yang berlumpur sebelum sampai ke tempat bunga tersebut.

Kami tiba di KK lebih kurang jam 07.30 malam dan kami singgah sebentar di gerai-gerai berhampiran Pasar Filipina untuk makan malam.

17 Disember 2008:
Mengikut perancangan, pada hari ini kami akan menaiki bot ke Pulau Manukan. Untuk itu, kami perlu berada di Jesselton Point, jeti tempat bertolak, seawal mungkin kerana kami bercadang untuk kembali ke KK pada waktu tengah hari.

Selesai membeli tiket, kami menaiki bot pada jam 08.30 pagi menuju ke Pulau Manukan. Perjalanan tersebut memakan masa hampir setengah jam sahaja.





Setiba di Jesselton Point pada jam 01.30 petang, kami terus menuju ke Lok Lawi yang terletak hampir setengah jam perjalanan dari KK. Kami ke sana untuk memenuhi kehendak Haziq dan Adam untuk melihat monyet Bangkatan (Prosboscis Monkey) yang menjadi trademark Pusat Hidupan Liar Lok Kawi.



Selesai di Lok Kawi, kami terus menuju ke bandar KK untuk memenuhi keinginan To'wan untuk membeli mutiara dan kain telekung. Mujurlah To'wan sempat membeli barang yang dihajatkan walau kami agak kepenatan.

18 Disember 2008:
Kami bergerak menuju ke KKIA lebih kurang jam 08.30 pagi. Ini kerana kami perlu memulangkan kereta sewa kepada pemiliknya sebelum bertolak pulang.


Sekali lagi kami berhadapan dengan situasi yang sama semasa bertolak dari KL tempoh hari iaitu penerbangan ditangguhkan berikutan masalah teknikal yang dihadapi. Penerbangan yang sepatutnya dijadualkan pada jam 10.45 pagi akhirnya berubah ke jam 12.30 tengah hari. Sedikit sebanyak bengang juga kami walaupun terpaksa akur dengan keadaan yang berlaku. Kami selamat tiba di KLIA pada jam 03.00 petang.


No comments:

Post a Comment