Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Friday, February 27, 2009

Ulangtahun Kelahiran Ke-5

Bismillahirrahmanirrahim...




"Selamat hari jadi ke-5 hari ini


Buat Muhammad Haziq Amin bin Mohd Hafiz...


Moga panjang umur murah rezeki


Hidup sentiasa diberkati Ilahi


Meningkat taqwa dan iman dalam hati


Berjaya dalam menempuh hidup ini."


Tuesday, February 10, 2009

Kembara 2P - Thaipusam 2009

Bismillahirrahmanirrahim...

Kali ini kami mengambil peluang untuk menghabiskan cuti Thaipusam dengan mengunjungi Kak Idah @ Mak Ngah dan keluarga yang di Gerik, Perak. Kembara kami bermula pada 8 Februari 2008, Ahad pada jam 9.00 pagi. Perjalanan bermula di Bandar Baru Sentul (BBS) kerana kami berlima berkumpul dan bermalam di situ. Kembara turut disertai Adam, yang sememangnya liat untuk bangun pagi dan terpaksa diangkat oleh Pak Su untuk dimandikan.

DESTINASI 1: AIR PANAS SUNGAI KLAH, SUNGKAI

Kami tiba di destinasi pertama lebih kurang jam 12.00 tengah hari. Cuaca sungguh terik tapi kami redah juga alang-alang sudah sampai di situ.

Harga Tiket: RM10.00 (Dewasa), RM8.00 (Kanak-kanak)







Komen:
Indah khabar dari rupa. Kami menjangkakan untuk menikmati suasana mendamaikan seperti yang dipromosikan dalam sebuah rancangan dokumentari, malangnya suasana panas, sesak dan kurang mesra alam yang kami temui. Pihak pengurusan perlu menyediakan maklumat yang secukupnya kepada para pengunjung seperti edaran risalah petunjuk arah dan kebenaran keluar-masuk kenderaan.

DESTINASI 2: CAMERON HIGHLANDS

Kami meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands, tiba di sana lebih kurang jam 3.00 petang. Perut lapar minta diisi. Kami makan tengah hari di Kedai Makan Zainab, Tanah Rata. Alhamdulillah...Selesai solat jama' Zohor dan Asar, kembara diteruskan.

Seperti biasa, tumpuan utama ke sini sudah tentulah buah Strawberry. Kami menuju ke Taman Strawberry yang terletak di Tanah Rata. Sudah banyak perubahan yang berlaku berbanding kali terakhir kami datang ke sini iaitu kira-kira 2 tahun yang lalu.



















DESTINASI 3: BANDARAYA IPOH

Memandangkan kami memilih melalui jalan biasa, kami perlu menempuh Bandaraya Ipoh sebelum meneruskan perjalanan ke Gerik. Malang tidak berbau. Kami menghadapi kesesakan jalan raya yang teruk dan terperangkap selama 1 jam lebih. Kasihan Pak Su yang tension memandu dalam kesesakan. Punca kesesakan? Sambutan Thaipusam, perarakan Kavadi. Hampir kesemua jalan-jalan utama ditutup menyebabkan limpahan trafik tertumpu hanya pada satu arah sahaja. Ditambah pula dengan sikap tidak bertimbang rasa pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengambil kira kesukaran para pemandu lain. Paling mengejutkan kami apabila ada pihak yang sanggup meletakkan kenderaan pada laluan Ambulans yang terletak berhadapan dengan pintu masuk Hospital Ipoh. Bayangkan sekiranya berlaku kecemasan pada masa itu dan ambulans tidak dapat melepasi laluan tersebut.



DESTINASI 4: RUMAH MAK NGAH DI KG TAWAI, GERIK

Selepas berjaya meloloskan diri daripada kesesakan tersebut, kami meneruskan perjalanan melalui lebuh raya memandangkan kami semua sudah keletihan dan sebal dengan kesesakan tadi.

Alhamdulillah kami tiba di Gerik lebih kurang jam 11.30 malam. Selesai mandi, solat dan makan malam, kami melelapkan mata secara berjemaah dan hanya bangkit pada subuh keesokkan hari.







DESTINASI 5: MUZIUM ARKEOLOGI, LENGGONG

Dalam perjalanan pulang, kami mengambil kesempatan singgah sebentar di Muzium Arkeologi Lenggong yang terletak di Kota Tampan. Terimbau pelajaran sejarah yang kami pelajari sewaktu di sekolah dulu. Sekali sekala mengingati sejarah ada juga manfaatnya.

Adam paling teruja melihat tengkorak (kengtorak katanya) secara live di depan mata.










DESTINASI 6: MEE BANJIR UDANG, KUALA SEPETANG

Matlamat utama kembara kami adalah untuk menikmati mee banjir udang gara-gara menonton siaran salah sebuah rancangan dokumentari yang mempromosikan mee banjir udang Mak Teh yang terletak di Kuala Sepetang. Perjalanan dari Gerik memakan masa hampir 1 jam. Hajat kami memang ingin makan di gerai Mak Teh tetapi terpaksa kami batalkan apabila melihat deretan kereta dan manusia yang mengerumuni gerai Mak Teh. Kebetulan ada beberapa buah gerai berhampiran yang turut menyediakan hidangan tersebut. Kami berarah ke situ dan menikmati mee banjir udang yan dihajatkan. Memang menyelerakan dan bersesuaian dengan harga yang dikenakan. RM7.00 bagi udang biasa dan RM9.00 bagi udang istimewa. Harga ditetapkan berdasarkan saiz udang dan kami memilih udang istimewa, alang-alang datang daripada jauh semata-mata untuk makan mee banjir udang.







DESTINASI 7: HUTAN PAYA LAUT MATANG

Selesai makan mee banjir udang, kami menuju ke kawasan hutan paya laut yang terletak tidak jauh daripada gerai tersebut. Satu kawasan yang dilengkapi pelbagai kemudahan menarik tetapi sekali lagi kami berdepan dengan suasana pengurusan yang kurang memuaskan. Kurang papan tanda penunjuk arah dan tiada kaunter informasi untuk mendapatkan maklumat sepatutnya.

Pada pandangan kami, kawasan tersebut sememangnya menarik untuk dikunjungi dan penganjuran aktiviti-aktiviti berbentuk kekeluargaan tetapi malangnya terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditambahbaik.



DESTINASI 8: TAMAN TASIK TAIPING

Destinasi terakhir kami sebelum kembali ke KL adalah Taman Tasik Taiping. Di sini kami mengambil kesempatan untuk menaiki permainan air yang dipanggil Swan Boat. Walaupun kadar yang dikenakan agak mahal berbanding Tasik Titiwangsa, kami ambil peluang untuk mencuba juga. Tambahan pula, Adam pun sudah tidak sabar-sabar untuk menaiki Swan Boat (itik katanya). Sebanyak RM10.00 dikenakan bagi 2 orang untuk setiap Swan Boat dan RM2.00 dikenakan kepada kanak-kanak.



Alhamdulillah, kembara kami berakhir pada jam 3.30 petang dan kami terus bertolak balik ke KL melalui lebuh raya. Kami sempat solat jama' di Batang Kali dan sekali berdepan kesesakan jalan raya yang sangat teruk semasa tiba di Selayang dan Batu Caves. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa tidak sampai setengah jam telah menyebabkan kami terperangkap selama 1 jam setengah. Sungguh memenatkan...

"Musafir dan safar itu penuh dengan ujian dan dugaan, keletihan dan kelesuan, namun jangan sampai dilupakan pengalaman dan pengajaran"
(Anonymous)