Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, December 31, 2008

Balik Kampung: Awal Muharram 1430H

25 Disember 2008 (Khamis):
Ayah De @ BaHa dan keluarga, Mak Long, Ayah Chik dan Pak Su berkunjung ke rumah BaMa @ Ayah Long yang terletak di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan tiba di sana lebih kurang jam 2.00 petang. Seperti biasa, Adeef menjadi perhatian dan rebutan Athirah, Akid dan Akif. Geram melihat pipi gebu dan kecomelan Adeef, kata mereka. Nasib baiklah Adeef seronok dengan layanan mereka.

Adeef dibuli Athirah, Akid dan Akif

Mak Long, Adeef, Akid dan Ayah Chik di laman rumah Ayah Long

Aksi Akrobatik Pak Su bersama Akid dan Akif
(gian nak naik basikal ke Pak Su???)

Kami bertolak ke rumah BaHa lebih kurang jam 6.00 petang dan Athirah, Akid dan Akif turut ikut bersama kerana akan pulang ke kampung bersama Mak Long dan Pak Su pada keesokan harinya. Malam itu, Athirah, Akid dan Akif bermalam di rumah Ayah De mereka sementara menunggu kedatangan Mak Long dan Pak Su untuk pulang ke kampung. Kelihatan mereka sungguh teruja untuk pulang ke kampung berjumpa To'Ki dan To'Wan.

26 Disember 2008 (Jumaat):
Lebih kurang jam 12.30 t/hari, tanpa melengahkan masa, kami (Mak Long, Pak Su, Athirah, Akid dan Akif) bertolak pulang ke kampung dengan menaiki Kenari flying without the wing milik Mak Long. Perjalanan Alhamdulillah lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan kami sempat singgah di Kuala Kemaman untuk solat di Masjid Geliga dan minum petang di Warung Aziz Satar. Akid begitu berselera memulun satar manakala Akif pula membantai otak-otak. Sedar tak sedar, 4 pinggan otak-otak dan satar telah dihabiskan oleh kami. Hahahaha...

Akid begitu berselera makan satar...

Di Masjid Geliga tunggu kakak Athirah solat, lamanya...kata Akif,'Bersolek la tu"...

Alhamdulillah kami selamat tiba di kampung lebih kurang jam 6.30 petang. Sebenarnya To'Ki dan To'Wan tidak mengetahui kepulangan mereka tiga beradik. Beria-ia mereka nak surprise kan To'Ki dan To'Wan. Pada malamnya, kami diajak oleh Mak Teh yang telah pulang lebih awal ke kampung bersama Adam, untuk ke funfair yang diadakan berhampiran Pantai Teluk Lipat. Walaupun Mak Long masih keletihan tetapi apabila melihatkan keghairahan kanak-kanak untuk mengunjungi funfair, Mak Long bersiap juga untuk turut serta. Malah To'Wan dan To'Su (adik To'Wan) juga turut ikut serta.

Kanak-kanak riang menaiki tren...

27 Disember 2008 (Sabtu):
Kami (tidak termasuk Pak Su dan To'Ki) bercadang untuk mengunjungi Tasik Kenyir sebagai memenuhi permintaan kanak-kanak untuk berjalan-jalan. Kami bertolak dari rumah dengan menaiki kereta Kia Sportage (TAD3217) milik To'Ki lebih kurang jam 2.00 petang melalui jalan Che Lijah dan Padang Pulut. Pada mulanya perjalanan berjalan lancar tetapi semasa kami tiba di Pinang, enjin kereta mati dengan tiba-tiba. Mak Long dah cuak. Kenapa tiba-tiba mati ni? Nak kata tak ada minyak, baru je isi RM50. Hmmm...puas Mak Long cuba hidupkan enjin tapi gagal. Mujurlah tempat tersebut agak luas, bolehlah kami menolak kereta ke kawasan yang lebih selamat. Ada juga beberapa buah kereta yang melalui jalan itu yang cuba untuk membantu kami malangnya gagal. Malah Mak Long cuba menghalang bantuan yang cuba diberikan berikutan enjin kereta tersebut amat sensitif. Hanya mekanik tertentu sahaja yang diizinkan oleh To'Ki untuk mengusiknya. Cara terakhir? Ya! Pak Su dihubungi agar datang memberi bantuan. Kebetulan To'Ki ada urusan di Pejabat Agama dan hanya boleh dihubungi selepas jam 5.00 petang. Kanak-kanak semua sudah tidak senang duduk. Kecewa pun ada kerana hasrat untuk bergembira terbantut. Apapun, kami hanya merancang. Yang menentukan? Dia jua...Pasti ada hikmahnya.

Aksi boring Akif apabila perjalanan terbantut kerana kereta rosak...:)

Gelagat kanak-kanak...

Akhirnya Pak Su tiba ke tempat kejadian untuk memperbetulkan kerosakan dengan menaiki Kenari. Pada mulanya kerosakan berjaya dibetulkan dan kereta mampu dihidupkan tetapi ternyata ada sesuatu yang tidak kena dengan enjin kereta tersebut. Akhirnya kami berkampung di Masjid Padang Pulut sementara menanti kedatangan To'Ki. Pemeriksaan awal mendapati air bateri, air enjin dan minyak silinder kering kontang. Aduhai patutlah enjin panas. Mujurlah jarak perjalanan kami masih tidak berapa jauh. Bayangkan kalau kerosakan berlaku semasa kami sudah berada di Tasik Kenyir atau dalam perjalanan pulang dan suasana sudah malam. Sesungguhnya Allah masih mengasihani kami. Ini hanyalah ujian kecil daripadaNya.

Menanti ketibaan To'Ki di pondok Masjid Padang Pulut

Aksi poyo Akid sementara To'Ki cuba memperbaiki kerosakan...

Setelah mencuba beberapa kali, ternyata kerosakan enjin tersebut tidak dapat dikesan oleh To'Ki dan Pak Su. Hari sudah semakin gelap. Malah kami sempat solat Asar dan Maghrib di Masjid Padang Pulut. Memandangkan tiada jalan penyelesaian lain dan hari semakin gelap, To'Ki mengambil keputusan untuk menghubungi trak tunda untuk membawa kereta ke bengkel. Malah mekanik yang diambil oleh Pak Su juga turut mengatakan bahawa kerosakan yang dialami tidak boleh diperbaiki dalam masa terdekat tetapi perlu dibawa ke bengkel terlebih dahulu.

Saat-saat TAD3217 dibawa naik ke trak tunda...

28 Disember 2008 (Ahad):
Akhirnya hasrat kami untuk ke Tasik Kenyir berjaya juga direalisasikan apabila kami bertolak lebih kurang jam 11.30 pagi dengan menaiki Persona CCE3217 dan Kenari Putrajaya3217. Perjalanan kami pada kali ini turut disertai oleh Pak Su dan Ayah Chik yang tiba dari Kuala Lumpur pada malam tadi. Bukan main seronok lagi budak-budak tu. Kami tiba di Tasik Kenyir lebih kurang jam 2.30 petang dan terus menuju ke pusat penerangan untuk mendapatkan maklumat tentang tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi. Memandangkan kami tiba sudah agak lewat, kami dicadangkan untuk mengunjungi tempat-tempat yang terletak tidak berapa jauh sahaja iaitu Taman Herba, Air Terjun Sauk dan Pusat Ternakan Ikan Kelah.

To'Wan yang cuak naik bot. Akid tukang gelak...

Akif dan Adam yang seronok naik bot...

Akif bersama Pak Su dan Mak Teh

Athirah...

Akid @ Koya posing di Taman Herba...

Berebut-rebut nak posing dengan pokok tanduk rusa...

Bau apa Akif?

Athirah cuba menghidupkan api...tak dapat minum air lah nampak gaya

Selamat Datang ke Taman Herba...Akid mana? dia lah jurugambar...:)

To'Wan posing di Air Terjun Sauk

Seronok pula makan ramai-ramai tepi air terjun


Kelah Sanctuary Farm...Amboi lebih-lebih plak Mak Teh posing ye

Main cak-cak! Adam selamba tak pakai baju...

3A: Akid, Adam dan Akif

Mak Long wif 4A (Athirah, Akid, Akif, Adam)

Semasa dalam perjalanan pulang ke jeti, kami telah berdepan dengan insiden yang mencemaskan di mana bot yang kami naiki nyaris-nyaris melanggar kayak. Mujurlah tiada kecederaan serius yang menimpa pelancong tersebut walaupun insiden tersebut sedikit mengecewakan kami sebenarnya.

Tiba di jeti...

Akif tengok apa tu?

Akif mengada-ngada dengan Pak Su

Athirah pula mengada-ngada dengan Mak Long

29 Disember 2008 (Isnin):
Selamat Hari Jadi Pak Su! Sebelum bertolak balik ke KL kami sempat menyambut ulang tahun kelahiran Pak Su yang ke-22. Pak Su dengan malu-malu kucingnya meniup lilin kek hari jadi yang dibeli oleh Mak Long dan Mak Teh. Budak-budak tu bukan main seronok lagi mengenakan Pak Su. Buat Pak Su, semoga senantiasa berada dalam kerahmatan dan keberkatanNya jua. Aamiin...



Dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar di kebun To'Ki kerana Mak Teh ingin mengambil tanah merah untuk menyamak rumah barunya.

Asyik bermain pokok anak dara malu (semalu)...

Saturday, December 20, 2008

Cuti-cuti Malaysia - Kota Kinabalu, Sabah

Bakarianz terlibat:-
To'wan, Mak Long, Mak Teh, Ayah Chik, Pak Su, Haziq, Adam

15 Disember 2008:
To'wan, Mak Teh, Haziq dan Pak Su bergerak daripada Gombak dengan menaiki kereta Baha@Ayah De lebih kurang jam 1.30 pagi. Manakala Mak Long, Ayah Chik dan Adam bertolak dengan menaiki KLIA Transit daripada stesen Bandar Tasik Selatan. Kami terpaksa berpecah kerana kenderaan Baha tidak mencukupi untuk membawa kami semua ke KLIA.

Mak Long, Ayah Chik dan Adam menaiki tren jam 10.40 malam menuju ke KLIA. Adam pun turut sama berjalan kaki bersama Mak Long dan Ayah Chik menuju stesen tren. Bersemangat betul Adam nak menaiki kapal terbang.

Memandangkan penerbangan kami dijadualkan pada jam 4.00 pagi, kami bertiga terpaksa berkampung buat sementara di KLIA sementara menunggu waktu penerbangan. Macam pelarian pun ada juga rasanya. Adam pun sempat tidur sebentar sebelum yang lain-lain tiba di KLIA.


Penerbangan yang dijadualkan pada jam 4.00 pagi akhirnya telah ditunda ke jam 5.00 pagi atas kerosakan yang timbul di saat-saat akhir.

Kami tiba di Kota Kinabalu International Airport (KKIA) pada jam 08.30 pagi. Mujurlah urusan kereta sewa telah diuruskan oleh salah seorang kenalan Mak Long di KK. Alhamdulillah kami dapat sebuah Proton Saga BLM baru dengan kadar sewa RM120 sehari. Kira murah lah kalau nak dibandingkan dengan harga sewa yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat lain di KKIA.

Kami terus menuju ke Promenade Hotel Apartments yang terletak kira-kira 20 minit daripada KKIA. Hotel tersebut telah ditempah lebih awal dengan kadar RM161/malam. Walaupun kami sampai awal, kami hanya dibenarkan untuk daftar masuk pada jam 12.00 t/hari. Semua dah penat sebab kurang tidur. Kami ambil keputusan untuk berehat dan tidur terlebih dahulu sebelum memulakan pengembaraan kami di KK.

Selesai membersihkan diri dan merehatkan diri seketika, tanpa melengahkan masa, kami memulakan pengembaraan lebih kurang jam 04.00 petang menuju ke Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tujuan kami sebenarnya adalah untuk meninjau Akuarium yang terletak dalam universiti tersebut. Kami bercadang untuk mengunjungi tempat tersebut pada esok hari memandangkan tempat tersebut ditutup pada hari Rabu.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah untuk makan malam di Anjung Selera yang terletak berhampiran Lebuh Raya Likas. Makanannya boleh tahan juga walaupun tidaklah sedap sangat...

Kami juga sempat singgah di Masjid Jamek KK sebentar untuk berposing...


16 Disember 2008:

Kami bangun seawal jam 6.00 pagi memandangkan waktu Subuh lebih awal 1 jam berbanding di Semenanjung. Kesian pula bila terpaksa mengejutkan Haziq dan Adam untuk bangun awal. Mujurlah kedua-duanya masih di bawah kawalan. Paling kelakar Adam, dah siap mandi tapi tertidur semula sementara menunggu yang lain-lain bersiap.

Seperti dirancang, pada hari ini kami bercadang untuk mengunjungi Akuarium di UMS dan meneruskan perjalanan ke Tamparuli, Kundasang, Ranau.


Pintu masuk Akuarium UMS. Kami merupakan pengunjung pertama yang tiba...


Di Tamparuli...sempat menaiki Jambatan Tamparuli dan mengunjungi Tamu berdekatan...

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Sabah Tea Garden. Perjalanan daripada Tamparuli ke Sabah Tea Garden mengambil masa lebih kurang 2 jam.


Poring Hot Springs...

Pekan Kundasang...sejuk tempat tu, macam Cameron Highlands...Dalam perjalanan balik kami singgah untuk tidak melepaskan peluang melihat bunga yang terbesar di dunia iaitu bunga Rafflesia. Walaupun kami terpaksa mendaki untuk melihat bunga tersebut dan sedikit bayaran dikenakan, kami nekad untuk melihat juga bunga tersebut. Bimbang juga peluang lain tak muncul...tapi To'wan tidak turut serta kerana perlu mendaki bukit yang berlumpur sebelum sampai ke tempat bunga tersebut.

Kami tiba di KK lebih kurang jam 07.30 malam dan kami singgah sebentar di gerai-gerai berhampiran Pasar Filipina untuk makan malam.

17 Disember 2008:
Mengikut perancangan, pada hari ini kami akan menaiki bot ke Pulau Manukan. Untuk itu, kami perlu berada di Jesselton Point, jeti tempat bertolak, seawal mungkin kerana kami bercadang untuk kembali ke KK pada waktu tengah hari.

Selesai membeli tiket, kami menaiki bot pada jam 08.30 pagi menuju ke Pulau Manukan. Perjalanan tersebut memakan masa hampir setengah jam sahaja.





Setiba di Jesselton Point pada jam 01.30 petang, kami terus menuju ke Lok Lawi yang terletak hampir setengah jam perjalanan dari KK. Kami ke sana untuk memenuhi kehendak Haziq dan Adam untuk melihat monyet Bangkatan (Prosboscis Monkey) yang menjadi trademark Pusat Hidupan Liar Lok Kawi.



Selesai di Lok Kawi, kami terus menuju ke bandar KK untuk memenuhi keinginan To'wan untuk membeli mutiara dan kain telekung. Mujurlah To'wan sempat membeli barang yang dihajatkan walau kami agak kepenatan.

18 Disember 2008:
Kami bergerak menuju ke KKIA lebih kurang jam 08.30 pagi. Ini kerana kami perlu memulangkan kereta sewa kepada pemiliknya sebelum bertolak pulang.


Sekali lagi kami berhadapan dengan situasi yang sama semasa bertolak dari KL tempoh hari iaitu penerbangan ditangguhkan berikutan masalah teknikal yang dihadapi. Penerbangan yang sepatutnya dijadualkan pada jam 10.45 pagi akhirnya berubah ke jam 12.30 tengah hari. Sedikit sebanyak bengang juga kami walaupun terpaksa akur dengan keadaan yang berlaku. Kami selamat tiba di KLIA pada jam 03.00 petang.