Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Monday, March 29, 2010

sekolah baru saya











assalammualaikum cikgu....

ini lah sekolah baru saya. tiap-tiap hari abah akan antar saya kesekolah. sekolah saya dekat dengan kandang kambing. tiap-tiap hari saya boleh tengok kambing. saya ada ramai kawan-kawan baru adam. cikgu saya nama cikgu resepi. tiap-tiap hari cikgu akan masak masakan yang tak berapa sedap. sekolah itu adam tak suka sikit pasal cat. kerana pada bahagian belakang sekolah itu telah buruk. adam kini telah menjadi pujaan kawan-kawan perempuan.. sekian..

Thursday, March 25, 2010

Awas!

Bismillahirrahmanirrahim...


"Semoga kita dilindungi-Nya daripada perkara-perkara yang memudaratkan."

Saturday, March 13, 2010

MATTA Fair

Bismillahirrahmanirrahim...





Hari ini MakLong, AyahChik dan PakSoo berkunjung ke MATTA fair di PWTC. Jalan memang sesak dan umat manusia juga sangat ramai tetapi atas niat ingin meninjau serta mendapatkan maklumat tempat-tempat menarik untuk dilawati, kami redah jua.

Pelbagai booth kami kunjungi dan kertas kami sambar untuk dimuatkan dalam beg comel yang diberi semasa membeli tiket masuk sebanyak RM3 seorang. Lenguh juga kaki kerana ada 3 dewan besar yang perlu diredah, ditambah dengan lautan manusia membanjiri dewan. Pelbagai promosi dan cara digunakan untuk menarik pelanggan membeli pakej yang mereka tawarkan. Memang tidak dinafikan harga yang ditawarkan jauh lebih murah tetapi perlu diteliti dan dihitung juga sebelum membelinya.

Kami tinggalkan PWTC pada jam 6 petang dan terus meredah kesesakan jalan menuju ke Sungai Buloh untuk memberi makan itik. Kebetulan bekas tuan punya telah memberi makan buat kali terakhir dan kami pulang pada jam 7.15 malam.

Thursday, March 4, 2010

Horas – Siri 5: Finale (17-02-2010)














Kami turun bersarapan pada jam 8.00 pagi dan terus bersiap untuk daftar keluar kerana akan bertolak pada jam 10.00 pagi untuk dibawa ke Medan Mall bagi acara membeli-belah terakhir. Seterusnya kami akan dibawa untuk makan tengah hari sebelum dibawa ke Polonia airport untuk menaiki penerbangan jam 3.50 petang.

Kami meminta ejen membawa kami lebih awal kerana untuk mengelakkan membeli-belah dalam keadaan tergesa-gesa. Sememangnya terdapat banyak tempat untuk membeli-belah di Medan malah Sogo dan Carrefour turut ada di sini. Walau bagaimanapun, ejen memilih Medan Mall untuk kami atas faktor suasana yang lebih selesa kerana bazar di sini terletak bersekali dengan kompleks dan menurut Pak Untung, harga yang dikenakan lebih murah.

Tiba di kedai pertama, AyahNgah, AyahDe dan To’Wan sibuk memilih beg. Kami terus berlegar-legar ke gerai berhampiran dan naik ke aras atas. Tidak banyak yang kami beli di situ kerana kurang berpuas hati dengan kualiti barangan seperti kulit dan jeans. Namun baju batik merupakan barangan yang berbaloi untuk dibeli dengan harga yang lebih kualiti dan fesyen terkini.

Kami berada di Medan Mall hampir 2 jam dan kembali ke bas untuk dibawa menikmati makan tengah hari di tempat yang sama semalam iaitu Restoran Lubuk Idai. Hari ini kami dijamu dengan hidangan sedikit berbeza tetapi tetap menyelerakan. To’Ki beberapa kali menambah nasi, mungkin kerana lauk yang dihidang kena dengan seleranya. Kami pun apa kurangnya, masing-masing bertambah nasi kerana tidak mampu menolak godaan lauk yang menyelerakan. Namun hari ini kami tidak membeli air ‘roso-roso’ lagi, cukup sekadar menikmati air suam. Satu perkara yang menarik di restoran ini adalah kami makan secara bersila dan kebersihan begitu dititikberatkan. Ini dapat dilihat melalui keadaan tandas yang terletak di belakang kedai, yang dijaga dengan baik dan bersih.

Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke Polonia Airport dan akan dibantu seterusnya oleh ejen lain bernama Pak Siwo. Pengembaraan kami bersama Pak Untung berakhir di perkarangan airport kerana proses seterusnya akan diuruskan oleh Pak Siwo sehingga kami selesai masuk ke balai pelepasan.

Kami telah siap-siap mengasingkan wang cukai airport sebanyak 75,000 Rupiah (RM30) seorang kecuali kanak-kanak untuk dibayar selesai urusan daftar masuk. Jumlah yang terpaksa dibayar adalah 1,275,000 Rupiah (RM510) bagi 17 orang penumpang. Malah kami turut memberi tip kepada Pak Untung sebanyak RM425 dan tambahan lagi kepada pemandu dan pembantu pemandu. Bagi kami, mereka telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin sepanjang kembara kami dan banyak membantu memudahkan pergerakan kami.

Kami sekali lagi diuji semasa mendaftar masuk yang turut menyebabkan masa yang panjang diambil untuk memproses pas pelepasan kami. Insiden yang sama masih berulang iaitu nama AyahNgah yang tidak sama dengan nama tercatat dalam tiket dan insiden lain adalah apabila pegawai tersebut menjadi keliru apabila melihat terlalu banyak nama dengan Abdullah@Abu Bakar. Disebabkan itu, kami terpaksa mengesan dan menyusun kembali pas pelepasan yang telah dicetak agar tidak tersilap dan terlepas pandang. Sistem di sini memang jauh berbeza dengan Malaysia di mana mereka masih menggunakan sistem manual dalam merekod dan menyemak nama-nama penumpang. Dalam suasana begini, tidak sabar rasanya menjejakkan kaki ke bumi Malaysia dan menambahkan rasa syukur kami kepada suasana yang jauh lebih baik di Malaysia.

Kembara kami semakin tiba ke penghujungnya namun sedikit terlewat apabila penerbangan ditunda kepada jam 5.30 petang. Sementara menunggu waktu berlepas, kami menunaikan solat di Musalla yang terletak di dalam balai pelepasan dan sempat berlegar-legar membeli makanan untuk mengisi perut. Dapat dilihat bahawa soal keselamatan kurang diambil berat di sini berbanding di lapangan terbang lain.

Jam 5.15 petang, pengumuman dibuat kepada penumpang MH864 untuk memasuki kapal terbang. Hati sungguh tidak sabar lagi ingin kembali ke Malaysia. Hujan emas di negeri orang, hujan batu jua jadi pilihan. Namun hakikatnya, hujan di Malaysia adalah hujan emas jika dibandingkan dengan Medan. (Jangan marah ye penduduk Medan, ini luahan anak Malaysia).

Penerbangan hanya memakan masa 30 minit sahaja. Nampaknya pilot merempit lagi sama seperti kami tiba di Medan tempohari, juga mengambil masa 30 minit sahaja. Selesai urusan mengambil bagasi, kami cuba mendapatkan khidmat teksi KLIA namun agak terkejut apabila tambang yang dikenakan mencecah RM400 bagi 2 buah teksi NazaRia. Lantas kami ambil keputusan untuk menaiki KLIA transit pada kadar RM6.20 seorang dan turun di stesen Putrajaya. Perjalanan hanya memakan masa 20 minit sahaja. Dari situ, kami menaiki 4 buah teksi (RM36 sahaja) menuju ke pejabat MakLong untuk mengambil kenderaan yang ditinggalkan di ruang parkir bawah tanah.

Alhamdulillah, syukur kembara kami berakhir dengan baik meskipun pada awalnya penuh dengan pelbagai cabaran bermula dengan penempahan tiket promosi, pencarian ejen dan urusan paspot. Namun dengan niat yang baik, Allah permudahkan semuanya. Allahu Akbar!

Wednesday, March 3, 2010

Horas – Siri 4 (16-02-2010)


















Seawal jam 7.30 pagi (8.30 pagi waktu Malaysia), kami sudah bersiap untuk bersarapan. Seperti biasa, menu wajib adalah nasi goreng dan keropok pink (MakLong tak tau apa nama keropok tu). Bedal sajalah, janji halal dan mengenyangkan. Sebelum kami bersarapan, AyahNgah telah ‘digoda’ oleh wanita penjual jamu. Hahaha. Rasakan, merokok lagi di pagi hari. Kasihan pun ada melihat kesungguhan mereka untuk menjual barangan kepada pelanggan. Sanggup menunggu berjam-jam walaupun tiada kepastian akan dibeli atau tidak. Sudahnya memang tak beli pun. Kasihan, kasihan. Apakan daya, kami tak makan jamu buk, maafin kami ya.

Usai sarapan, kami berfoto-foto di sekitar kawasan kotej sambil menikmati suasana nyaman dan pemandangan indah berlatarbelakangkan sebuah gunung berapi yang masih aktif. Walaupun matahari sudah naik, ternyata cuaca di Berastagi masih nyaman. Tidak seperti di Cameron Highland yang sudah semakin pudar kenyamanannya. Pemandangan dari situ sememangnya menarik dan indah kerana kedudukan kotej yang terletak di puncak bukit.

Jam 10.00 pagi, kami terus mendaftar keluar dan bertolak ke sebuah tempat tidak jauh dari kotej iaitu Bukit Gundaling. Dari situ, kami akan dibawa ke Bukit Gundaling atau terjemahan sebenarnya adalah ‘Good Bye Darling’. Menurut Pak Untung, nama Gundaling diambil sempena satu kejadian yang menimpa seorang ahli botani Eropah yang datang ke situ bersama isterinya untuk membuat kajian tumbuh-tumbuhan. Dalam keasyikan dan leka meneliti tumbuh-tumbuhan yang ada di situ, tanpa disedari dia telah terpisah dengan isterinya malah gagal menemui isterinya semula. Dia telah pergi mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung untuk mencari isterinya yang mungkin tersesat dalam hutan tebal di situ. Ternyata pencarian mereka sia-sia dan gagal menemukan semula isteri ahli botani tersebut. Oleh kerana itu, ahli botani tersebut telah mengucapkan ‘Good Bye Darling’ sebagai ucapan selamat tinggal kepada isterinya yang telah hilang. Dek kerana tidak arif tentang Bahasa Inggeris, penduduk kampung telah mengungkapkannya sebagai Gundaling dan menamakan bukit tersebut sebagai Bukit Gundaling. Maka nama tersebut kekal menjadi sebutan sehingga hari ini.

Di situ, kami turut berfoto berlatarbelakangkan gunung berapi yang masih aktif iaitu Gunung Sibayam. Semasa dalam perjalanan tadi sewaktu Pak Untung menceritakan bahawa gunung berapi tersebut masih aktif, dengan spontan To’Ki telah bertanya,

“Hari ni tak meletup ke?”

“Oh, semalam kita sudah booking supaya hari ini tidak meletup,” kata Pak untung disambut hilai tawa kami.

Tarikan utama di situ adalah kuda yang boleh dinaiki sama ada secara berseorangan atau bersama keluarga. AyahNgah, AyahDe, MakNgah dan keluarga mengambil peluang menaiki kereta kuda mengelilingi sekitar kawasan berhampiran. Sumber hasil utama di kawasan Berastagi adalah sayur-mayur terutama kobis, lobak dan beberapa jenis sayuran lain yang juga boleh diperoleh di Malaysia.

Hampir 1 jam kami di situ dan kami meneruskan perjalanan pulang ke bandar Medan yang dijangka memakan masa 1 jam. Namun kami merasakan bahawa perjalanan yang sepatutnya dekat menjadi jauh kerana keadaan jalan raya yang agak teruk. Malah jauh lebih teruk dari jalan di kawasan pedalaman di Malaysia. Namun begitu, tidak berlaku sebarang kemalangan di sepanjang perjalanan walaupun semua pemandu saling memotong apabila mempunyai peluang.

Satu perkara yang kami perasan sepanjang perjalanan sejak dari hari pertama adalah jualan terbuka babi (b1) dan anjing (b2). Di mana-mana boleh dilihat papan tanda memaparkan hidangan b1 dan b2 adalah dijual di situ sama ada panggang atau masak kicap.

Sebelum tiba di bandar Medan, kami singgah di sebuah perhentian untuk menikmati buah durian. Dengan harga 20,000 rupiah sebiji, kami telah menyerang 3 biji durian sahaja. Itu pun rasa macam masih belum cukup. Kami meneruskan perjalanan dan tiba di Medan lebih kurang jam 2.00 petang. Perut pun sudah mula berkeroncong dan kami dibawa ke sebuah restoran bernama Lubuk Idai. Sajian utama di situ adalah ayam bakar dan makanan laut yang digoreng atau dibakar juga. Restoran tersebut juga turut menyediakan minuman istimewa yang dipanggil ‘roso-roso’. Menurut pemilik restoran tersebut, ‘roso-roso’ adalah campuran 6 jenis jus buah yang tidak dicampur dengan pemanis tambahan. Oleh kerana kami belum pernah merasai air tersebut, kami memilih untuk mencubanya sendiri. Ternyata hidangan yang dijamu sungguh menyelerakan dan menambat selera kami sehingga AyahDe berhajat untuk makan tengah hari di tempat yang sama sebelum balik pada keesokan hari.

Selesai menikmati makan tengah hari yang cukup lazat, kami dibawa oleh Pak Untung ke sebuah kedai kain. Ternyata tiada yang menarik hati kami kecuali diasak oleh penjual jalanan yang berkampung di luar kawasan kedai dan akhirnya beberapa orang daripada kami telah tertewas dengan pujuk rayu mereka yang cukup mengancam jiwa. Oleh kerana harga barangan di kedai tersebut agak mahal (pada pendapat kami) dan berhajat untuk ke Pasar Ikan, maka kami meninggalkan kedai tersebut tanpa barang pembelian yang banyak. Dari situ, kami terus dibawa ke sebuah kedai yang agak moden iaitu ‘Fashion Outlet’. Tiada apa juga yang kami beli dari situ meskipun harga yang ditawarkan memang agak murah. Mungkin kerana dalam kepala sudah dipahat untuk membeli belah di Pasar Ikan.

Tiba di Pasar Ikan iaitu satu kawasan yang mengandungi deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kain. Indah khabar dari rupa. Ternyata agak sukar untuk membeli-belah di situ kerana sarat dengan gangguan penjual-penjual jalanan menyebabkan kami rimas dan tidak sempat membeli apa-apa sebaliknya terus beredar menaiki bas yang sedia menunggu.

Kami kemudian dibawa mendaftar masuk di hotel yang sama kami menginap pada malam pertama di Medan iaitu Garuda Citra namun kali ini kami diberi bilik di aras yang sama dan bersebelahan. Apa lagi, petang itu riuh rendah dengan suara kanak-kanak bermain di ruang antara bilik masing-masing.

Memandangkan malam ini merupakan makan malam terakhir kami di sini, kami dibawa ke sebuah hotel lain iaitu Hotel Tiara untuk menikmati hidangan bufet yang disediakan. Terkejut juga kerana tidak menjangka layanan yang diberikan oleh ejen begitu baik dan menyeronokkan. Puas kami menikmati segala makanan yang ada sehingga sendat perut masing-masing kerana diakui perut kami tidak pernah kosong sepanjang kembara ini semenjak hari pertama kami tiba di bumi Medan. Usai makan malam, kami kembali ke hotel untuk berehat dan berkemas sebelum bertolak pulang pada keesokkan hari. Memandangkan penerbangan kami adalah pada jam 3.50 petang waktu tempatan, Pak Untung memaklumkan akan membawa kami ke Medan Mall untuk membeli-belah buat kali terakhir.

Tiba di hotel, AyahNgah dan Ayahde beria-ia ingin membeli beg baru lantas kami ambil keputusan berjalan kaki ke sebuah kompleks berhampiran iaitu Yuki Simpang Raya. Malangnya, beg yang dicari tiada malah harganya jauh lebih mahal berbanding Malaysia. Selepas memutuskan untuk membelinya di Medan Mall esok, kami kembali semula ke hotel.

Malam masih muda. Kami berlima berpakat untuk menikmati suasana waktu malam di Medan dengan menaiki becak yang setia menunggu pelanggan di luar perkarangan hotel. Siapakah kami yang berlima itu? AyahNgah, MakLong, MakTeh, AyahChik dan PakSoo. Ke mana AyahDe? Kami hanya mampu bersimpati kerana mulanya kami merancang untuk berkaraoke di restoran hotel tetapi akhirnya AyahNgah mencadangkan agar kami bersiar-siar menaiki becak melihat suasana malam Medan. Kebetulan waktu itu, Adam membutuhkan abahnya maka kami tidak sampai hati mengecewakan Adam. Hahaha. Maafkan kami, maafkan kami, maafkan kami...

Tempahan becak yang sepatutnya memakan masa setengah jam menjadi 1 jam dek kerana leka dibawa berpusing-pusing bandar Medan dalam keadaan trafik yang macet bangat. Ternyata walaupun pemandu jarang mematuhi peraturan, tidak kenampakan kemalangan yang berlaku malah kami turut kecut perut dengan gaya pemanduan pakcik becak yang dengan hebatnya mencelah di antara kenderaan.

Paling sadis adalah AyahNgah kerana terpaksa duduk di belakang pemandu dan di atas lampu motosikal. Sakit buntut katanya, hahaha. Apakan daya, peluang sekali seumur hidup, diredah jua. Bayaran yang dikenakan kepada kami bagi kedua-dua becak untuk 1 jam adalah 150,000 Rupiah sahaja.

Banyak perkara-perkara menarik di Medan termasuk bangunan lama malah kebanyakan bangunan yang ada di tengah-tengah bandar adalah dibina sejak sejak zaman penjajahan Belanda. Paling menarik apabila melihat jualan mercun dan bunga api secara terbuka dalam jumlah yang banyak dan besar. Kami dibawa melalui lorong-lorong yang ada dan melihat suasana Medan secara dekat. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh pemerintah untuk menaikkan taraf hidup penduduknya.

Kami kembali ke bilik masing-masing lebih kurang jam 12.00 tengah malam dengan penuh kepuasan kerana berjaya mencapai misi meronda bandar Medan di waktu malam.