Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, March 4, 2010

Horas – Siri 5: Finale (17-02-2010)














Kami turun bersarapan pada jam 8.00 pagi dan terus bersiap untuk daftar keluar kerana akan bertolak pada jam 10.00 pagi untuk dibawa ke Medan Mall bagi acara membeli-belah terakhir. Seterusnya kami akan dibawa untuk makan tengah hari sebelum dibawa ke Polonia airport untuk menaiki penerbangan jam 3.50 petang.

Kami meminta ejen membawa kami lebih awal kerana untuk mengelakkan membeli-belah dalam keadaan tergesa-gesa. Sememangnya terdapat banyak tempat untuk membeli-belah di Medan malah Sogo dan Carrefour turut ada di sini. Walau bagaimanapun, ejen memilih Medan Mall untuk kami atas faktor suasana yang lebih selesa kerana bazar di sini terletak bersekali dengan kompleks dan menurut Pak Untung, harga yang dikenakan lebih murah.

Tiba di kedai pertama, AyahNgah, AyahDe dan To’Wan sibuk memilih beg. Kami terus berlegar-legar ke gerai berhampiran dan naik ke aras atas. Tidak banyak yang kami beli di situ kerana kurang berpuas hati dengan kualiti barangan seperti kulit dan jeans. Namun baju batik merupakan barangan yang berbaloi untuk dibeli dengan harga yang lebih kualiti dan fesyen terkini.

Kami berada di Medan Mall hampir 2 jam dan kembali ke bas untuk dibawa menikmati makan tengah hari di tempat yang sama semalam iaitu Restoran Lubuk Idai. Hari ini kami dijamu dengan hidangan sedikit berbeza tetapi tetap menyelerakan. To’Ki beberapa kali menambah nasi, mungkin kerana lauk yang dihidang kena dengan seleranya. Kami pun apa kurangnya, masing-masing bertambah nasi kerana tidak mampu menolak godaan lauk yang menyelerakan. Namun hari ini kami tidak membeli air ‘roso-roso’ lagi, cukup sekadar menikmati air suam. Satu perkara yang menarik di restoran ini adalah kami makan secara bersila dan kebersihan begitu dititikberatkan. Ini dapat dilihat melalui keadaan tandas yang terletak di belakang kedai, yang dijaga dengan baik dan bersih.

Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke Polonia Airport dan akan dibantu seterusnya oleh ejen lain bernama Pak Siwo. Pengembaraan kami bersama Pak Untung berakhir di perkarangan airport kerana proses seterusnya akan diuruskan oleh Pak Siwo sehingga kami selesai masuk ke balai pelepasan.

Kami telah siap-siap mengasingkan wang cukai airport sebanyak 75,000 Rupiah (RM30) seorang kecuali kanak-kanak untuk dibayar selesai urusan daftar masuk. Jumlah yang terpaksa dibayar adalah 1,275,000 Rupiah (RM510) bagi 17 orang penumpang. Malah kami turut memberi tip kepada Pak Untung sebanyak RM425 dan tambahan lagi kepada pemandu dan pembantu pemandu. Bagi kami, mereka telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin sepanjang kembara kami dan banyak membantu memudahkan pergerakan kami.

Kami sekali lagi diuji semasa mendaftar masuk yang turut menyebabkan masa yang panjang diambil untuk memproses pas pelepasan kami. Insiden yang sama masih berulang iaitu nama AyahNgah yang tidak sama dengan nama tercatat dalam tiket dan insiden lain adalah apabila pegawai tersebut menjadi keliru apabila melihat terlalu banyak nama dengan Abdullah@Abu Bakar. Disebabkan itu, kami terpaksa mengesan dan menyusun kembali pas pelepasan yang telah dicetak agar tidak tersilap dan terlepas pandang. Sistem di sini memang jauh berbeza dengan Malaysia di mana mereka masih menggunakan sistem manual dalam merekod dan menyemak nama-nama penumpang. Dalam suasana begini, tidak sabar rasanya menjejakkan kaki ke bumi Malaysia dan menambahkan rasa syukur kami kepada suasana yang jauh lebih baik di Malaysia.

Kembara kami semakin tiba ke penghujungnya namun sedikit terlewat apabila penerbangan ditunda kepada jam 5.30 petang. Sementara menunggu waktu berlepas, kami menunaikan solat di Musalla yang terletak di dalam balai pelepasan dan sempat berlegar-legar membeli makanan untuk mengisi perut. Dapat dilihat bahawa soal keselamatan kurang diambil berat di sini berbanding di lapangan terbang lain.

Jam 5.15 petang, pengumuman dibuat kepada penumpang MH864 untuk memasuki kapal terbang. Hati sungguh tidak sabar lagi ingin kembali ke Malaysia. Hujan emas di negeri orang, hujan batu jua jadi pilihan. Namun hakikatnya, hujan di Malaysia adalah hujan emas jika dibandingkan dengan Medan. (Jangan marah ye penduduk Medan, ini luahan anak Malaysia).

Penerbangan hanya memakan masa 30 minit sahaja. Nampaknya pilot merempit lagi sama seperti kami tiba di Medan tempohari, juga mengambil masa 30 minit sahaja. Selesai urusan mengambil bagasi, kami cuba mendapatkan khidmat teksi KLIA namun agak terkejut apabila tambang yang dikenakan mencecah RM400 bagi 2 buah teksi NazaRia. Lantas kami ambil keputusan untuk menaiki KLIA transit pada kadar RM6.20 seorang dan turun di stesen Putrajaya. Perjalanan hanya memakan masa 20 minit sahaja. Dari situ, kami menaiki 4 buah teksi (RM36 sahaja) menuju ke pejabat MakLong untuk mengambil kenderaan yang ditinggalkan di ruang parkir bawah tanah.

Alhamdulillah, syukur kembara kami berakhir dengan baik meskipun pada awalnya penuh dengan pelbagai cabaran bermula dengan penempahan tiket promosi, pencarian ejen dan urusan paspot. Namun dengan niat yang baik, Allah permudahkan semuanya. Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment