Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Sunday, February 21, 2010

Horas – Siri 2 (14-02-2010)

Bismillahirrahmanirrahim...





























Seawal jam 7.30 pagi (waktu tempatan), kami sudah bersarapan di kafe hotel dan bersiap untuk bertolak ke Parapat pada jam 8.30 pagi. Seperti dijanjikan, Pak Untung & The Gang tiba jam 8.15 pagi di perkarangan hotel dan kami segera memasuki bas yang tersedia bersama barang masing-masing kerana kami akan bermalam di sana. Satu fenomena biasa apabila diserbu sekumpulan peniaga jalanan setiap kali kami melangkah keluar dari kawasan hotel. Pada mulanya agak geram dan menyampah juga tetapi apabila melihat kesukaran mereka melalui kehidupan, kami mula terbiasa dan menghindarkan diri dari godaan serta paksaan mereka.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami dibawa oleh Pak Untung ke sebuah kedai pengurup wang kerana ada sebahagian daripada kami yang belum bergelar jutawan. Ternyata pertukaran di Malaysia lebih menguntungkan kerana polisi Malaysia sendiri yang tidak menggalakkan rakyatnya membawa ringgit keluar dari Malaysia.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami dibawa ke salah sebuah kedai untuk acara pra membeli belah. Nampaknya rancak juga acara pertama ini kerana To’ Wan dan To’Ki telah memborong sebahagian besar pakaian di situ. Dari situ, kami terus dibawa melawat ke satu lokasi bersejarah iaitu Istana Maimon, satu tempat yang wajib dikunjungi jika berkunjung ke Medan. Memandangkan istana tersebut tidak dibiayai oleh pemerintah, sumbangan daripada pelawat untuk urusan penyelenggaraan amat diharapkan.

Dari Bandar Medan, kami dibawa ke Parapat melalui satu-satunya laluan tol yang ada di situ iaitu Tol Tanjung Morawa. Perjalanan dijangka memakan masa selama 4 jam dan kami dijadualkan akan singgah di beberapa lokasi objek wisata (tarikan pelancong) di sepanjang perjalanan tersebut. Keadaan jalan sememangnya jauh berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia walaupun jalan tersebut adalah jalan utama. Di sepanjang perjalanan juga dapat dilihat papan tanda melarang perbuatan membuang air kecil di sepanjang tepi jalan, satu pemandangan yang tidak ada di Malaysia. Tapi mereka memang tidak menyediakan kemudahan R&R sepanjang perjalanan menyebabkan pengguna jalan raya tempatan membuang air kecil sesuka hati di tepi jalan raya. Apapun, kami tidak terlibat dalam aktiviti tersebut kerana kami singgah di beberapa lokasi objek wisata dan ada disediakan kemudahan tandas.

Persinggahan pertama kami adalah satu pusat perindustrian bernama PATEN yang mengeluarkan pelbagai produk berasaskan kacang tanah dan bijan. Nama produknya, TANG-TANG, TING-TING, PANG-PANG, ANG-ANG dan macam-macam lagi. Kedengaran macam mengaji Muqaddam dengan dua baris atas, bawah dan sabdu pula bunyinya nama-nama produk tersebut. Nampaknya aktiviti ‘pancung rupiah’ telah bermula di situ.

Dari situ, kami dibawa untuk menikmati makan tengah hari di salah sebuah restoran di pekan Permatang Siantar. Usai makan tengah hari, perjalanan diteruskan dan kami dapat melihat satu fenomena yang agak pelik iaitu aktiviti meminta sedekah menggunakan sauk dan mereka duduk di tengah-tengah jalan untuk menadah wang yang dilemparkan oleh pemandu yang ingin memberi. Mulanya kami sangka ada aktiviti membaiki jalan kerana ada seorang pemuda yang melambai-lambaikan bendera merah sebelum bas kami memasuki laluan tersebut. Rupanya itu adalah isyarat kepada para pemandu bahawa mereka bakal memasuki laluan ‘tadahan derma’ dan sila perlahankan kenderaan.

Kami tiba di Bandar Parapat dan dibawa terus ke tempat penginapan iaitu Danau Toba International Cottage. Sungguh teruja apabila lokasi bilik penginapan betul-betul berada di tepi Tasik Toba dan kami boleh menikmati keindahan tasik dengan hanya bersantai di beranda bilik. Kemudahan hawa dingin memang tidak disediakan di dalam bilik penginapan kerana kawasan tersebut adalah kawasan tanah tinggi. Kami berehat-rehat di bilik dan kanak-kanak bergembira di kolam renang sementara menanti tiba waktu makan malam pada jam 7.30 malam. Kami dihidangkan dengan sup, ayam goreng dan sayur. Sememangnya waktu makan kami teratur sepanjang perjalanan malah To’Ki berselera (makan bertambah nasi) setiap kali tiba waktu makan.

Usai makan malam, kami dibawa oleh Pak Untung menyusuri jalan di sekitar Bandar Parapat. Aktiviti wajib sudah tentulah membeli belah.

No comments:

Post a Comment