Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Friday, March 27, 2009

Kembara Iman - Fasa 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izinNya maka hari ini para Bakarianz (MakLong,MakTeh,AyahChik,PakSu) telah berjaya melengkapkan perkara-perkara asas untuk urusan permohonan visa umrah. Yang tinggal kini cuma dokumen Abah dan Mi sahaja yang masih menunggu proses suntikan selesai, insyaAllah dijangka akan dibuat pada 8.4.2009. Semoga dipermudahkanNya dan semua urusan menuju Kembara Iman kami akan berjalan lancar.

Suntikan berjaya dibuat pada pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lebih kurang jam 8.00 pagi. Demi mendapatkan suntikan tersebut, MakLong dan MakTeh telah membuat keputusan bermalam di rumah Bandar Baru Sentul (BBS) kerana mengambil kira jarak yang hampir dengan HKL. Kami bertolak dari BBS pada jam 7.10 pagi dan tiba di perkarangan HKL pada jam 7.30 pagi. Alhamdulillah niat kami dipermudahkanNya. Dengan mudah kami mendapat ruang tempat letak kereta dan terus menuju ke Jabatan Pesakit Luar. Mujurlah PakSu telah terlebih dahulu mendapatkan maklumat tentang prosedur mendapatkan suntikan di situ. Malah kunjungan kami ke situ sebenarnya selepas gagal mendapatkan suntikan pada hari Selasa di Klinik Kesihatan Petaling kerana kehabisan stok bekalan ubat.

Kami dikira bernasib baik kerana antara yang paling awal tiba untuk mendapatkan suntikan dan terus menerima layanan baik daripada kakitangan bertugas. Malah tindakan kami bertanya kepada kakitangan bertugas menyebabkan orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan yang sama turut mengerumuni kakitangan tersebut. Lucu pun ada juga rasanya kerana sebelum kami bersuara, semua yang ada di situ hanya mendiamkan diri menunggu disapa/dimaklumkan oleh kakitangan bertugas.

Tidak sampai setengah jam, urusan suntik menyuntik selesai dan kami beredar ke kafeteria HKL untuk bersarapan sebelum bertolak menuju ke tempat kerja masing-masing. InsyaAllah pagi esok, urusan menyerahkan salinan paspot, sijil suntikan dan gambar kepada wakil agensi umrah akan dibuat oleh PakSu dan AyahChik. Manakala pada hari Ahad pula, kelas pengajian umrah akan bermula dan kami bercadang untuk mengikutinya bagi memantapkan pengetahuan sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 3.6.2009 (insyaAllah).

No comments:

Post a Comment