10 April 2009:
Ayah De & keluarga, MakLong bertolak pulang menaiki SX4 Sedan milik MakLong lebih kurang pada jam 11.00 malam. Perjalanan lancar dan kami tiba di kampung lebih kurang jam 3.30 pagi. Sesampai di kampung, aktiviti pertama yang dibuat sudah tentulah menyambung tidur. Hehe...
Kenduri pada kali ini sebenarnya boleh dikatakan agak tergesa-gesa (adhoc). Ini kerana kambing peliharaan To'Ki yang bersaiz besar telah sakit dan perlu disembelih dengan segera. Maka kesemua Bakarianz yang ada dikerah pulang untuk menyumbangkan keringat dan tenaga menjayakan kenduri doa selamat dan arwah untuk nenek moyang yang telah kembali kepadaNya.
Dalam kesibukan membersihkan kambing yang telah disembelih untuk dilapah, MakTeh dan PakSu tiba dengan menaiki motosikal milik AyahLong. Konon-konon perasan Awie dan Erra Fazira la tuh...eiii tak kose!
Sesi menyiat kulit kambing dilakukan oleh kawan To'Ki yang lebih dikenali sebagai Datuk Ngah (polis pencen) dan jiran kami, Pak Usop.
Lebih kurang jam 7.00 malam, AyahNgah dan keluarga tiba dari Chini, Pahang dan AyahCheek pula tiba jam 8.00 malam. Tanpa membuang masa, segala tenaga yang ada dikerah untuk menyempurnakan majlis tersebut. Para tetamu dijangka akan membanjiri rumah kami selepas selesai menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan di mana To'Ki bertugas sebagai imam.
Majlis dimulakan dengan solat hajat oleh para tetamu lelaki yang hadir dan diteruskan dengan bacaan selawat serta doa memohon kesejahteraan dunia dan akhirat, Aaamiin.
Selesai solat hajat dan bacaan doa, hidangan terus disediakan kepada para jemputan yang hadir. Kebanyakan yang hadir adalah para jemaah di masjid berdekatan yang sering hadir menunaikan solat yang diimamkan oleh To'Ki. Kami sudah menjangkakan kehadiran akan sentiasa melebihi jumlah yang dianggarkan. Entah kenapa setiap kali kami mengadakan kenduri, itulah situasi yang perlu dihadapi. Mungkin ada Bakarianz yang boleh memberikan pendapat tentang perkara ini, hehe...
Kepenatan memang jelas tergambar pada wajah-wajah Bakarianz kesan perjalanan jauh dan keterbatasan waktu yang ada, ditambah pula kenduri diadakan berkonsep hidangan. Kalau diikutkan hampir semua kenduri yang kami hadiri di rumah orang lain telah menggunakan konsep buffet untuk mengurangkan kepenatan membersihkan peralatan dan perkakas yang telah digunakan serta pada masa yang sama perlu melayan tetamu.
Pada masa-masa akan datang, konsep buffet akan digunakan sekiranya mengadakan kenduri demi keselesaan bersama. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban menyediakan hidangan dan membersihkan perkakasan yang digunakan.
Alhamdulillah kesemua lauk pauk yang disediakan berjaya dihabiskan oleh jemputan yang datang. Yang tinggal cuma saki-baki untuk dijadikan sarapan kami pada pagi esoknya.
Aktiviti pembersihan dan pengemasan terus dijalankan oleh Bakarianz sebaik selesai majlis memandangkan kami tidak mempunyai masa yang banyak kerana kami akan bertolak pulang ke destinasi masing-masing pada keesokkan harinya. Bakarianz memang kepenatan dan terbongkang dengan jayanya selepas selesai aktiviti-aktiviti tersebut.
Esok? PakSu perlu menghadiri temuduga di Kuala Terengganu pada jam 4.00 petang. Jadi kami masih belum merancang jadual perjalanan pulang ke destinasi masing-masing. Tunggu!
No comments:
Post a Comment